Pages

Wednesday, November 9, 2011

BAB 3


Azril membaca alamat yang tertera di atas surat pertukaran yang diterimanya daripada Tuan Rahim semalam. Kemudian, dia memandang sebuah kedai makan di hadapannya. Dia melihat nombor yang tertampal di dinding tepi kedai itu. Sama dengan nombor pada alamat yang tercatit di kertas diterimanya itu. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Mustahil ini adalah markas pasukan khas yang akan dia bekerja mulai hari ini.
Pasti orang yang menaip surat ni dah tersilap menulis alamat, fikirnya. Tetapi suara hatinya tidak bersetuju dengan alasan jikalau melihat sekeliling, kiri dan kanannya ialah barisan kedai-kedai biasa. Mustahil markas pasukan khas itu terletak di sekitar kawasan tersebut.
Tidak mahu memeningkan kepalanya memikirkan hal itu, Azril segera melangkah masuk ke dalam kedai makan. Oleh kerana sekarang merupakan waktu bekerja, tidak ramai yang kelihatan makan di situ. Dia menghampiri pak cik yang berumur dalam lingkungan 40-an yang sedang mengira sesuatu dengan menggunakan kalkulatornya.
“Assalamualaikum pak cik,” Azril menyapa dengan penuh hormat. Salam Azril dijawab acuh tidak acuh dan lebih mementingkan kira-kiranya apabila pak cik itu terus menekan-nekan kalkulatornya. “Pak cik saya nak tanya....”
Belum sempat Azril memulakan pertanyaannya, lelaki itu memberinya kunci yang kelihatan seperti kunci kereta kepadanya.
“Kereta wira hitam. Dalam tu ada GPS yang dah disetkan ke lokasi. Itu saja arahan GPS tu,” beritahu pak cik itu menerangkan secara ringkas.
Azril mencapai kunci kereta yang diberi. Melihat pak cik yang tidak diketahui namanya itu masih meneruskan kira-kiranya, dia terus beredar pergi. Seperti yang dikatakan oleh pak cik tadi, Azril menghampiri sebuah kereta Wira hitam yang diletak di hadapan kedai makan itu.
Dengan kunci yang ada padanya, dia melangkah masuk ke dalam tempat duduk pemandu. Kelihatan sebuah GPS sudah tersedia di hadapannya. Tanpa berlengah lagi Azril memulakan pemanduan berpandukan arahan GPS.

 ***

Hampir satu jam dia memandu mengikut arahan GPS yang membawanya jauh dari kesesakan kota, akhirnya dia tiba di sebuah kawasan perindustrian lebih 100 kilometer dari pusat bandar Kuala Lumpur. Mengikut arahan itu juga, dia memandu keretanya masuk ke sebuah kilang yang juga bengkel kereta. Seingatnya, dia pernah ke sini dahulu iaitu semasa dia menghantar kereta polis cawangannya untuk diservis.
Betul-betul macam filem James Bond, fikirnya sempat menceriakan hatinya yang gemuruh pada ketika itu.
Selepas meletakkan kenderaannya di tempat letak kereta, dia berlalu masuk menghampiri kaunter penyambut tetamu di pintu masuk bangunan dua tingkat itu. Belum sempat dia hendak bertanya apa-apa, salah seorang daripada dua gadis yang menjaga kaunter itu menghulurkan kad yang sudah tertera gambarnya. Dia juga diminta menurunkan tandatangan pada sehelai kertas yang mengesahkan dia sudah mengambil kad itu.
“Masuk pintu belah kiri,” ujar gadis itu selepas Azril menurunkan tandatangan.
Tanpa berlengah lagi, Azril melangkah masuk ke pintu sebelah kiri yang dimaksudkan oleh penyambut tetamu tadi. Di sebalik pintu itu hanya terdapat sebuah lif. Seakan tahu apa yang perlu dibuat, dia menyentuh kad yang diterimanya tadi pada sebuah alat di dinding bersebelahan dengan pintu lif itu.
Serentak itu pintu lif terbuka. Tanpa mengesyaki apa-apa, Azril melangkah masuk ke dalam. Sebaik pintu lif tertutup rapat, lampu yang menerangi lif tadi terpadam. Namun, dia dapat lihat cahaya merah mengelilingi tubuhnya seperti memeriksa seluruh tubuhnya.
Selepas pemeriksaan keadaannya dibuat, barulah dia merasai lif itu bergerak ke bawah walaupun dia belum lagi menekan apa-apa butang. Kurang beberapa saat pintu lif dibuka secara automatic. Dari dalam dia dapat melihat sekumpulan pekerja yang tekun menghadap komputer masing-masing. Ada juga yang berlari ke sana sini sambil memekik mengarahkan sesuatu. Azril melangkah ke luar dari lif itu. Melihat semua orang sibuk, dia sendiri tidak tahu kepada siapakah yang perlu ditujunya untuk melapor diri.
“Jeneral tunggu dalam bilik mesyuarat,” sapa seorang wanita bercermin mata yang sibuk mengerjakan sesuatu pada komputernya.
Azril melihat sekeliling. Tidak jauh dari situ, dia melihat sebuah bilik yang tertulis “Bilik Mesyuarat” di hadapan pintu bilik itu. Tanpa berlengah lagi dia segera berlalu ke bilik yang dimaksudkan. Pintu diketuk. Satu suara menyuruhnya masuk ke dalam bilik itu. Sebaik melangkah masuk, dia mendapati terdapat tiga orang duduk di dalamnya.
“Inspektor Azril, selamat datang ke Pasukan Aman,” ujar seorang lelaki yang berusia dalam lingkungan 50 tahun. Dia kenal lelaki itu. Jika tidak salah, lelaki itu adalah Jeneral Mokhtar, salah seorang pesara tentera yang pernah menemui Tuan Rahim dahulu.
“Awak mesti kenal saya, bukan? Kita pernah bertemu dahulu,” tambah Jeneral Mokhtar lagi.
“Ya Tuan!” Azril menjawab dengan penuh hormat.
“Tak payah formal sangat kalau kat sini,” ujar Jeneral Mokhtar. “Kenalkan ini Muhd Razak selaku ketua operasi dan ini pula penolongnya, Cik Suhaila. Apa-apa hal, kamu perlu laporkan kepada mereka berdua.”
Azril mengangguk faham.
“Baiklah, saya tak nak membazir masa. Kita perlu bincang rancangan seterusnya. Kami dah sediakan tugas pertama awak. Mulai esok, awak akan kembali ke sekolah.”
“Sekolah?”
“Kolej Sri Cahaya. Sebuah sekolah yang menempatkan pelajar-pelajar elit dan genius di ibu negara,” ujar Razak, lelaki yang berusia dalam lingkungan 30 tahun itu.
“Menurut sumber yang dipercayai, terdapat militan pengganas bersembunyi di sana,” tambah Suhaila, wanita yang memiliki tahi lalat di bibirnya itu.
“Bersembunyi di sekolah?”
“Saya nak awak berhati-hati. Saya tak nak kejadian yang sama berulang sekali lagi,” ujar Jeneral Mokhtar sebelum meninggalkan bilik mesyuarat itu.
Azril masih terpinga-pinga apabila Jeneral Mokhtar meninggalkan mesyuarat yang sedang berlangsung itu.
“Sesuatu yang awak perlu tahu tentang Jeneral, dia tak suka duduk lama dalam bilik mesyuarat,” kata Suhaila yang seakan memahami apa yang bermain di fikiran Azril.
“Tapi, yang dimaksudkan dengan kejadian berulang?” Tanya Azril.
“Pengebom berani mati yang meletupkan diri baru-baru ni adalah anggota pasukan Aman yang ditugaskan untuk merisik kegiatan kumpulan pengganas yang menggelarkan diri mereka sebagai ‘Cahaya’,” terang Suhaila.

 ***

Sejak tadi Shaza asyik memerhati rakannya, Alin yang memakai pakaian seragam sekolah sedang membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Banyak perkara bermain di fikirannya sekarang dan semuanya melibatkan Alin.
“Betul ke kau ni? Ini kerja gila kau tahu tak? Dia orang tu bukannya penjenayah kecil-kecilan tapi pengganas. Kau tahu tak apa tu pengganas?” Soal Shaza yang dari tadi tidak berhenti daripada cuba menasihati Alin daripada buat kerja gila itu.
“Shaza, kau tak perlu risau. Aku tahu apa yang aku buat. Kau nak tulis berita sensasi tak?” Itu sajalah modal Alin kepada Shaza.
“Tentulah nak tapi takkan aku sanggup nak biarkan kau bahayakan nyawa kau sendiri? Kalau macam tu aku nak join jugak!”
“Tak boleh!” Tegas Alin.
“Tengok, macam manalah aku tak risau!”
“Shaza, kau kena faham. Aku tak ada sesiapa lagi dalam dunia ni tapi kau lain. Kau ada mak ayah, adik beradik dan terbaru, kau dah ada tunang. Kalau kau diapa-apakan, dia orang semua akan sedih tapi kalau terjadi apa-apa kat aku, tak ada orang yang akan menangis,” kata Alin cuba bertolak ansur dengan Shaza.
“Ada!” Balas Shaza.
“Okey, ada. Tapi kau saja. Jadi, biar aku menyamar jadi pelajar kat sana dan kau akan tulis berita sensasi!” Alin masih tetap dengan keputusannya.
Shaza hanya mampu menggeleng.
“Macam mana? Kau rasa ada nampak macam budak sekolah tak?” Tanya Alin sambil membelek-belek dirinya di hadapan cermin. Walaupun dia menyarung baju seragam Kolej Sri Cahaya tetapi seperti ada yang kurang.
“Kau rasa rambut aku ni sesuai ikat fesyen apa supaya nampak macam pelajar sekolah?” Tanya Alin lagi kepada Shaza.
“Kau ikat macam mana pun mesti nampak cantik,” balas Shaza.
“Bukan masalah cantiklah! Masalahnya aku nak nampak macam pelajar sekolah,” ujar Alin sedikit bengang. Dia kembali memandang cermin. Memang ada yang kurang. Dia masih melihat dirinya bukan seperti pelajar sekolah.
“Hah!” Dia memetik jari apabila mendapat satu idea. Lantas dia mencari sesuatu di dalam almarinya. Sebuah cermin mata dipakainya. “Macam mana? Nampak macam budak sekolah skema tak?”
“Walaupun kau nampak macam budak sekolah tapi rancangan kau tetap takkan berjaya,” ujar Shaza yang tidak yakin dengan rancangan rakannya itu.
“Kenapa?”
“Yang kau nak masuk ni sekolah elit bukannya sekolah kerajaan yang kau sekolah dulu tu. Mestilah syarat kemasukkannya agak ketat,” ujar Shaza.
“Jangan risau tentang tu. Aku dah selesaikan masalah tu.”
“Macam mana?”
“Macam mana lagi. Aku kan banyak back up. Aku ada kenal seorang hacker yang suka sangat masuk sensawang kerajaan ni. Disebabkan dia ada berhutang dengan aku dulu, jadi dia setuju nak langsaikan hutangnya dengan tolong aku hack sistem pelajar sekolah tu dan secara rasminya aku dah jadi pelajar Kolej Sri Cahaya,” terang Alin.
Sekali lagi Shaza mengeluh. Dia tidak mampu hendak menasihati Alin lagi. Walaupun tidak sampai lima tahun dia mengenali Alin, tetapi dia tahu kedegilan rakannya itu. Jika Alin sudah buat keputusan, nasihat apa pun tidak berguna lagi.
“Kalau macam tu, kau patut ikat dua rambut kau tu. Baru nampak macam pelajar skema,” komen Shaza selepas tidak mampu menasihati Alin. Dia hanya boleh berdoa supaya Alin pergi dan balik dengan selamat.

***

Hari pertama penyamaran sebagai pelajar sekolah Kolej Sri Cahaya. Semua berjalan dengan lancar. Sewaktu dia melangkah masuk ke pejabat sekolah tadi, tiada seorang pun yang mengesyakinya. Malah, rakan pengodamnya juga menjalankan kerja yang licin dan bersih apabila semua rekod yang diletak ke dalam sistem pelajar adalah lengkap dan langsung tidak meninggalkan sebarang jejak. Dengan itu, bermulalah hidup baru Alin sebagai penyamar di sekolah itu.
Alin dimasukkan ke sebuah kelas Tingkatan 5 Atom. Sewaktu dia memperkenalkan diri, tiada seorang pun yang memberi reaksi positif mahupun negatif. Semuanya senyap seperti robot yang dikawal. Begitu juga semasa sesi belajar. Semua menumpukan perhatian pada guru yang mengajar. Tiada seorang pun yang bercakap, bermain apatah lagi menguap kepenatan. Hal ini menyebabkan Alin berasa sangat bosan dan mengharap waktu rehat datang dengan cepat!
Setelah separuh mati kebosanan di dalam kelas tadi, akhirnya tiba waktu rehat. Anehnya, tiada seorang pun dari kelasnya itu datang padanya dan hulurkan salam perkenalan. Masing-masing membawa haluan sendiri meninggalkan Alin terpinga-pinga di dalam kelas.
“Ni sekolah ke pusat orang sakit jiwa yang aku masuk ni?” Soal Alin sendirian.
Dia menyangka dengan hanya menyamar satu hari, dia dapat berinteraksi dengan pelajar-pelajar sekolah itu sekali gus dapat mencungkil tentang kewujudan kumpulan militan tetapi lain pula jadinya. Mahu tidak mahu dia mengatur langkah seorang diri ke kantin. Alangkah terkejutnya Alin apabila melangkah masuk ke kantin sekolah itu. Bukan seperti apa yang digambarkan malah lebih jauh lagi jikalau hendak dibandingkan dengan kantin di sekolahnya dahulu.
Melangkah masuk ke kantin itu seakan melangkah masuk ke sebuah restoran mewah. Bermula dari hiasan di dalamnya sehinggalah makanan yang dihidangkan serupa seperti berada di restoran mewah.
Melihat menunya membuatkan Alin ingin pengsan. Tiada nasi, tiada lauk-pauk. Yang ada hanyalah makanan barat yang tidak pernah dimakannya manakala harganya mengalahkan harga makanan Dinner Plate KFC. Dua kali ganda lagi mahal. Memandangkan dia tidak berselera dengan menu yang disediakan dan harga yang mahal, akhirnya Alin hanya mengambil sebungkus roti yang berharga RM 3.00 dan sebotol air mineral berharga RM 2.00.
Betul-betul cekik darah! Rungut suara hatinya sambil berlalu duduk di tempat kosong.
Perut Alin yang lapar tadi terus tidak berselera hendak menjamah sebarang makanan. Dia memandang sekeliling. Kantin Kolej Sri Cahaya tiga kali ganda besarnya dari kantin sekolahnya. Meja dan kerusi makan seperti yang kelihatan di restoran mewah. Namun, ia terbahagi kepada dua bahagian.
Bahagian depan dipenuhi dengan kerusi dan meja makan manakala bahagian belakang yang terletak di sebalik cermin jernih itu kelihatan dipenuhi dengan deretan sofa dan meja-meja kecil. Kebanyakan pelajar memenuhi bahagian belakang berbanding bahagian hadapan.
Melihat keadaan persekitaran sekolah itu yang jauh sama sekali berbeza dengan persekitaran sekolahnya dahulu. Kini barulah dia faham kenapa orang kata sekolah ini adalah antara sekolah elit ternama. Jika dari luar nampak seperti sekolah biasa tetapi berbeza sama sekali apabila berada di dalam.
Hisy! Kusut fikiran aku. Sepatutnya aku masuk sini nak cari bukti tentang kumpulan militan tapi nampaknya aku perlu berusaha lebih, suara hatinya mula merungut.
“You jangan nak buat lawak. You ingat I ni apa?” Lantang satu suara menengking seseorang sekali gus mengejutkan Alin dari lamunannya.
Pandangannya dikalih ke arah sepasang kekasih yang bergaduh di hadapan pintu masuk kantin itu. Seorang gadis yang tinggi lampai seperti model tidak henti-henti menengking lelaki yang tidak kurang hebat penampilannya sehingga Alin terpaku memandang wajah lelaki itu. Langsung tiada cacat cela. Tidak sangka, ada juga lelaki melayu yang boleh kalahkan kekacakkan Lee Min Ho!
“Kau faham tak makna putus? Aku kata kita putus, kita putus sajalah,” balas lelaki itu. Walaupun nampak kasar tetapi tetap terserlah gaya buaya daratnya.
“Tapi kenapa?”
“Sebab aku dah tak berminat dengan kau lagi,” jawab lelaki itu selamba.
Huh, memang buaya darat betul. Baru budak sekolah dah dapat title romeo, hati Alin bersuara.
“You ada perempuan lain, bukan?”
Lelaki itu tidak menjawab tetapi sebaliknya berlalu masuk ke dalam. Teman wanitanya yang marah-marah itu masih lagi tidak puas hati mengekori dari belakang. Alin terkejut apabila lelaki itu dengan selamba duduk di hadapannya dan mengambil air mineral yang belum disentuhnya lagi.
“Ini teman wanita baru you? Perempuan macam ni....”
“Dia memang tak layak jadi teman wanita aku, okey. Kalau aku nak cari teman wanita, aku nak cari yang lebih cantik daripada dia dan lebih suci daripada kau!” Balas lelaki itu tanpa berlapik.
Tersentak Alin mendengarnya. Panas hatinya. Sudahlah ambil air orang tanpa izin, tidak cukup dengan itu dikutuknya lagi. Kalaulah bukan kerana aktiviti penyamarannya, sudah lama dia keluarkan langkah wushu yang dipelajarinya dahulu.
“Apa kau tercegat kat sini lagi? Blah la!” Tengking si gadis itu kepada Alin membuatkan Alin tersentak habis.
Belum lagi hatinya yang panas itu reda, dia sekali lagi kena cemuhan. Kali ini daripada si teman wanita lelaki itu pula. Oleh kerana dia mempunyai tujuannya ke sekolah itu, Alin bangun perlahan-lahan. Sebaik sahaja dia bangun, gadis itu terus duduk di tempatnya tadi dan meneruskan persengketaan tadi.
Sabar Alin! Sabar! Demi menuntut pembelaan atas kematian ayah, kau perlu bersabar! Lupakan apa yang dah berlaku dan fokuskan tujuan kau datang ke sini! Suara hatinya memberi peringatan.
Dia menarik nafas panjang sebelum menghembusnya kembali. Dia cuba lupakan apa yang berlaku tadi. Walaupun payah, tetapi dia perlu berpura-pura lupakannya. Dengan hati sedikit membara, Alin mengambil keputusan beredar dari situ.
Jam tangannya dijeling. Tinggal beberapa minit sebelum masa rehat tamat. Alin mengambil peluang itu dengan bersiar-siar di sekitar kawasan sekolah tersebut dengan harapan dia dapat menjumpai sesuatu yang berkaitan dengan kumpulan militan. Buat setakat ini, dia tidak dapat mengesyaki sesuatu yang pelik tentang sekolah itu selain perangai pelajar kelasnya yang aneh, keadaan kantin yang bagaikan restoran mewah dan sepasang kekasih bergaduh. Semua itu boleh dianggap normal.
“Aduh!” Rintih Alin apabila dia bertembung dengan seseorang di selekoh yang menghubungkan jalan ke kelasnya.
“Maaf. Saya tak perasan tadi,” ujar lelaki yang bertembung dengannya tadi.
“Tak mengapa,” ujarnya sambil membetulkan cermin matanya. Nasib baiklah ada orang di sekolah itu yang tahu ucap perkataan maaf. “Saya…,” kata-katanya terputus tatkala dia mengangkat kepala memandang lelaki yang melanggarnya tadi.
Alin mengamati wajah lelaki yang memakai cermin mata tebal dan memiliki fesyen rambut sisir belah tepi yang selalu dibuat oleh pelajar skema. Tidak puas hati dengan apa yang dilihatnya, dia lantas membuka cermin mata. Begitu juga dengan lelaki itu.
“Kau? Apa kau buat kat sini?” Serentak mereka bertanya soalan yang sama.