Pages

Thursday, November 3, 2011

BAB 1


Dua tahun kemudian...

Pasar raya besar menjadi sasaran pengebom berani mati – Gambar oleh Nor Harzlin Husin.
“Cantik,” Alin atau nama sebenarnya Nor Harzlin tersenyum puas apabila melihat gambar yang ditangkap olehnya menjadi gambar utama pada berita utama surat khabar Terkini yang popular di Malaysia itu.
“Cantik? Alin, ada mangsa terkorban dalam letupan tu dan kau boleh kata cantik?” Rakannya, Shaza menyapa.
“Gambar yang aku tangkap jadi tatapan berita utama. Kau tahukan berapa lama aku tunggu saat ni?”
“Kau dah beritahu aku perkara yang sama dua jam yang lalu. Tapi, bukan tu yang aku nak tahu. Aku nak kau beritahu perkara sebenar, macam mana kau boleh tangkap gambar kejadian ni?” Soal Shaza mula mengesyaki sesuatu.
“Dan aku dah jawab soalan tu dua jam yang lalu plus masa aku serahkan gambar ni pada kau. Kebetulan aku lalu dekat area situ dan aku tangkaplah,” jawab Alin.
“Alin, kau ingat aku main-main?”
“Samalah dengan aku. Kau ingat aku jawab main-main?” Balas Alin semula.
“Fine, kalau kau tak nak buka mulut, aku tak paksa kau tapi aku rasa dia orang mesti paksa kau buka mulut,” ujar Shaza malas hendak menyoal rakannya lagi.
“Dia orang?” Soal Alin.
“Cik Nor Harzlin,” namanya dipanggil oleh seorang lelaki di belakangnya. Alin terus berpaling. Dia melihat dua orang lelaki lengkap berpakaian seragam polis dan seorang lagi memakai baju biasa tetapi lagak gayanya dapat dijangka.
“Kami polis dari bahagian Bukit Aman, boleh Cik Nor Harzlin ikut kami ke balai untuk siasatan?” Lelaki yang tidak memakai seragam polis itu menegurnya dengan dialog yang sama sepertimana drama-drama melayu yang lain.
***
Ini pertama kali dia masuk ke dalam bilik yang sering dilihatnya di dalam televisyen ketika pihak polis sedang menyoal  pesalah. Hanya ada dua buah kerusi, sebuah meja dan satu cermin yang besar di dinding. Dia tahu fungsi cermin itu dan sudah pastinya ada orang lain di sebelah sana sedang memerhatikannya yang ditinggalkan seorang diri dalam bilik itu.
Beberapa seketika, lelaki yang menyambutnya tadi masuk ke dalam bilik siasatan itu. Alin masih lagi tenang walaupun ini pertama kali dia menjadi bahan siasatan polis.
“Saya tahu apa yang akan disoal. Pertama, kebetulan saya lalu dekat sana dan siapa yang nak lepaskan peluang bila ada kejadian menarik berlaku depan mata.”
“Kejadian menarik?” Soal Inspektor yang memperkenalkan dirinya Azril semasa dia di bawa ke balai tadi. “Cik Nor Harzlin, awak tahu tak kes ni serius.”
Alin sekadar mengangguk. Ya. Memang kes ini serius. Malaysia sekarang sudah tidak selamat lagi. Seorang pengebom berani mati meletopkan diri di sebuah pasar raya dan mengorbankan beberapa nyawa dan beberapa orang lagi sedang bertarung nyawa di hospital. Sekarang, ramai orang percaya, Malaysia sedang diserang pengganas.
Akhirnya, barulah mereka terhantuk!
“Saya masih lagi tak puas hati dengan jawapan awak. Macam mana awak tahu tentang kejadian ni?” Tanya Inspektor Azril.
“Walaupun encik tanya saya seribu kali, jawapan saya tetap sama. Kebetulan saya lalu kat sana.”
“Kebetulan?” Inspektor Azril tersenyum seolah-olah mengetawakan sesuatu. “Awak tahu tak, seberapa hebatpun seorang jurukamera, dia takkan dapat tangkap gambar tepat masa kejadian. Tambah lagi kedudukan awak memang tepat menghala ke tempat kejadian seolah-olah awak tahu apa yang akan terjadi pada hari tu, bukan?”
“Inspektor tak ada bukti nak kaitkan saya dengan kejadian ni lagipun saya tak bersalah,” balas Alin.
“Awak yakin?”
Alin mengangguk dengan penuh yakin.
“Kalau macam tu kita mulakan dengan peristiwa tahun lepas.”
“Masa bila?” Tanya Alin tidak tahu menahu.
“Awak berurusan dengan ketua kongsi gelap dengan meminta mereka buatkan kad pengenalan palsu supaya awak boleh masuk ke Thailand tanpa dikesan....”
“Itu masa saya lakukan penyamaran dan gambar-gambar yang saya tangkap tu diserahkan kepada pihak berkuasa dan dia orang semua dah ditangkap bukan?” Kata Alin cuba mempertahankan dirinya.
“Awak tahu apa yang kami selalu buat bila berhadapan dengan penjenayah berbahaya?” Tanya Inspektor Azril.
“Saya bukan polis. Manalah saya tahu.”
“Saya boleh buat awak daripada tak bersalah kepada bersalah. Saya boleh putar belitkan cerita setahun yang lalu yang mengatakan awak keluar masuk ke Thailand sebab jual dadah.”
Alin tersenyum. Hebat betul polis zaman sekarang ni sampai susah nak bezakan antara polis dengan penjahat.
“Kalau awak nak cuba, saya tak kisah...,” ujar Inspektor Azril lagi.
“Sejauh mana saya boleh percayakan Inspektor?” Soal Alin setelah lama berdiam diri.
“Jawapannya ada pada sedalam mana awak sayangkan negara awak sendiri,” jawab Inspektor Azril.
Alin menghala nafas lemah. Dia tahu, dalam hal ini dia tidak boleh bergerak seorangan. Jika tidak, apa yang diusahakan sehingga hari ini sia-sia belaka.
           
***
Kereta yang dipandu oleh Inspektor Azril berhenti di sebuah apartmen lima tingkat. Alin yang duduk di kerusi penumpang di sebelah terus keluar dari kereta.
“Saya percayakan awak dan jangan sesekali....”
“Tikam encik dari belakang,” sambung Alin. Sudah berkali-kali dia cuba meyakinkan Inspektor Azril bahawa dia tidak bersalah dan apa yang diberitahunya tadi adalah kebenaran yang diinginkan tetapi lelaki itu masih lagi tidak mempercayainya.
“Encik ada masalah dengan perempuan ke?” Soal Alin sambil mengorak langkah menaiki tangga untuk ke rumahnya yang terletak di tingkat tiga.
Inspektor Azril hanya mengekori di belakangnya tanpa membalas soalan Alin tadi. Mereka berdua berhenti di hadapan pintu bernombor 38. Pintu rumahnya yang berkunci dibukanya.
“Oh ya, tak manis kalau lelaki masuk rumah anak dara....”
“Boleh tak jangan main-main?” Tegur Inspektor Azril yang tidak berminat hendak bergurau senda buat masa sekarang.
“Nak bergurau pun tak boleh,” rungut Alin perlahan tetapi masih boleh didengar oleh lelaki itu.
Tanpa buang masa, dia terus melangkah masuk ke rumahnya. Alangkah terkejutnya apabila melihat rumahnya bersepah seperti digeledah pencuri.
“Apa dah berlaku?” Tanya Alin sambil melihat sekeliling. Semua barang-barang yang berada di rumahnya itu berterabur di atas rantai.
“Ini bukan kes rompakan,” kata Inspektor Azril.
“Habis tu apa? Puting beliuang landa rumah ni?” Soal Alin tidak puas hati.
“Orang yang pecah masuk ni cari sesuatu. Tengoklah, sampai kekabu sofa pun dia orang geledah,” kata Inspektor Azril.
Alin terfikir sejenak. Ada benarnya apa yang diberitahu oleh Inspektor Azril tetapi apa yang dicari sehingga dia menjadi sasarannya.
“Buku nota!”
Tanpa berlengah lagi dia bergegas masuk ke bahagian dapur dan berlalu mencari sesuatu di belakang almari pinggan mangkuk. Seperti di ruang tamu, keadaan di bahagian dapur juga tidak kurang bezanya.
“Dah hilang,” ujarnya yang gagal mencari buku nota yang disembunyikan di belakang almari itu.
“Apa yang hilang?”
“Buku nota yang saya nak tunjukkan.”
“Buku nota? Itu ke yang awak beria-ia nak tunjukkan pada saya sebagai bahan bukti?” Soal Inspektor Azril.
“Buku nota tu peninggalan dari arwah ayah saya. Dalam buku nota tu ada banyak kajian yang ayah saya dah buat tentang kumpulan militan yang sedang bersembunyi sekarang ni. Malah, apa yang lebih teruk lagi, dalam buku tu juga ada turut tercatit tempat sasaran pengebom berani mati seterusnya.”

2 comments:

  1. awat rasa macam pendek sangat! tapi ceritanya nampak bagus... teruskan menulis!

    ReplyDelete