Pages

Monday, November 7, 2011

BAB 2



Inspektor Azril tiba-tiba ketawa kelucuan. Alin agak terkejut. Bukan kerana dia terkejut dengan Inspektor Azril yang dari awal tadi tidak pernah senyum mahupun bergurau tiba-tiba ketawa tetapi dia terkejut kerana Inspektor Azril menganggap apa yang diberitahunya tadi hanyalah satu rekaan.
Ingat ini pertandingan mencipta novel thriller apa! Suara hati Alin mula memberontak.
“Saya tak bohong!” Tegas Alin. Inspektor Azril yang ketawa kecil tadi berhenti ketawa. “Memang dalam buku tu ada tertulis di mana lokasi kedua serangan pengebom berani mati. Semua ni dah lama dirancang tapi tak ada seorang pun yang percayakan ayah saya!”
“Kalau macam tu, awak mesti tahu lokasi serangan kedua bukan?” Soal Inspektor Azril.
Alin terdiam.
“Saya tak ingat,” jawab Alin menghela nafas lemah.
“Tak ingat atau....”
“Saya tak tipu. Ayah saya ada catit lokasi kedua tapi masalahnya saya hanya sempat baca separuh....”
“Awak tahu tak, awak dah bazirkan masa saya,” kata Inspektor Azril kelihatan tidak gembira dengan situasi itu. “Awak patut tukar kerjaya, mungkin awak sesuai jadi penulis novel supaya awak boleh bebas bercerita tentang sesuatu yang tak masuk akal. Oh ya, jangan lupa buat laporan pasal rumah awak dipecah masuk,” kata Inspektor Azril sebelum mengorak langkah keluar dari rumahnya.
“Itu saja?” Soalnya sebelum bayang Inspektor Azril menghilang. Satu keluhan dilepaskannya apabila mendapati Inspektor Azril pergi begitu sahaja.
“Menjaga keamanan konon! Semua polis sama saja. Ayah aku mati kena bunuh dengan pengganas, dia orang kata kemalangan aje. Aku memang tak patut percayakan polis sejak awal lagi! Lepas ni, biar aku korek sendiri. Tak payah nak minta bantuan polis pengecut!” Rungut Alin sambil mengemas barang-barang yang bersepah di ruang tamu rumahnya.
“Arghh!!” Dia mendengus marah sambil menghempas barang-barang yang dikutipnya tadi. Hatinya masih panas. Dia masih tidak puas hati lagi. Saat-saat genting macam inilah buku nota peninggalan arwah ayahnya hilang!
Belum lagi panas hatinya reda, dia diganggu dengan satu panggilan telefon daripada nombor yang tidak dikenali. Tanpa menunggu panjang, dia segera menjawab panggilan itu. Selalunya hanya seorang saja yang suka sangat menggunakan nombor yang tidak dikenali ini.
“Kenapa Yahya?” Tanya Alin sebelum si pemanggil memperkenalkan diri.
“Cayalah Alin! Aku belum kenalkan diri lagi kau dah tahu,” sorak satu suara di talian.
“Siapa lagi yang ada tabiat guna telefon orang tak dikenali,” balas Alin yang amat kenal dengan perangai Yahya, rakannya yang dikenali semasa sama-sama menghadiri kursus fotografi semasa dia mula-mula mengambil keputusan untuk menjadi jurukamera dua tahun yang lalu.
“Kau memang sahabat aku sehidup semati yang memahami aku sepanjang hayat,” puji Yahya lagi.
Alin sudah jelik dengan pujian Yahya terhadap dirinya. Tapi apa boleh buat, itu adalah sebahagian daripada perangai Yahya. Memuji orang adalah hobi Yahya sejak lahir lagi. Memang nampak menipu. Orang baru lahir mana boleh memuji orang, tapi hal itu dipertahankan oleh Yahya sendiri. Malas dia hendak bertanya macam mana Yahya memuji orang sewaktu bayi, nanti macam-macam jawapan yang tidak logik diterimanya.
“Abang cepatlah, nanti habis duit saya,” ujar satu suara perempuan di hujung talian mengejutkan Alin dari lamunan.
“Sabarlah. Abang nak pujuk awek abang ni.” Suara Yahya pula kedengaran. Alin sekadar tersenyum. Awek? Mudahnya lelaki ini menipu. “Wei Alin,” Yahya memanggilnya. Nadanya seperti berbisik seperti ada orang mencuri dengar perbualan mereka itu.
“Apa hal kau telefon aku?” Alin terus bertanya.
“Aku dengar kau kena tangkap dengan polis handsome tadi,” Yahya memulakan bicara.
“Kenapa? Kau kecewa ke sebab yang tangkap aku tu polis handsome?”
“Mahunya tak kecewa. Aku ingat yang datang tangkap kau tu polis perempuan cantik jelita. Bila dengar polis handsome, terus aku tak jadi nak datang sana ikat jamin kau,” balas Yahya selamba.
“Kau nak aku tekan butang merah ni ke?” Soal Alin geram.
“Eh, janganlah. Aku gurau je tadi,” ujar Yahya lagi.
“Kalau kau nak habiskan masa aku dan kredit budak perempuan kat sebelah kau tu, baik kau lupakan. Aku ada banyak kerja nak buat dan lagi aku….”
“Aku dapat maklumat terbaru tentang apa yang kau usahakan sekarang,” pantas Yahya memotong kata-kata Alin tadi.
“Apa dia? Maklumat apa?” Terus Alin berminat hendak mengetahuinya.
“Sabar sayang. Apa kata kita berjumpa kat tempat biasa malam nanti?”
“Okey tapi kalau kau bagi maklumat salah atau tak berguna, siap kau!”

 ***

“Tuan Rahim nak jumpa,” sapa rakan sekerjanya apabila dia baru sahaja melangkah masuk ke balai tempatnya berkhidmat itu. “Hati-hati, muka dia nampak tak ceria saja. Macam orang berak kapur saja aku tengok,” tambah rakannya lagi.
Azril mengangguk. Tanpa berfikir panjang dia terus meminta diri untuk ke bilik Tuan Rahim tetapi dia berpatah kembali menghampiri Omar yang menegurnya tadi.
“Orang berak kapur ke atau ayam berak kapur?” Tanya Azril dengan serius.
“Samalah tu!” Balas Omar.
“Mana boleh sama. Perumpamaan tu warisan bahasa dan lagi perumpamaan yang kau guna tak tepat. Ayam berak kapur tu bermaksud rupa yang pucat seperti menghidap penyakit,” balas Azril.
Omar menggaru kepalanya yang hampir botak. “Ah, kau ni. Itu pun nak dijadikan isu. Cepat, Tuan Rahim tengah tunggu kau kat dalam tu!” Dia menolak Azril. Kalau dilayan Azril, lagi botaklah kepalanya. Salah perumpamaan pun nak dijadikan isu!
Pintu bilik Tuan Rahim diketuknya. Dari luar dia mendengar dengan jelas Tuan Rahim menyuruhnya masuk. Tanpa berlengah lagi tombol pintu dipulasnya dan ditolaknya pintu itu sedikit. Tanpa disuruh dia mengatur langkah menyapa Tuan Rahim dengan hormatnya.
“Tuan nak jumpa saya?” Tanya Azril kepada lelaki yang berusia separuh abad itu.
“Ya. Saya ada hal nak nak beritahu kamu,” kata Tuan Rahim. “Pertama, saya baru terima arahan daripada pihak atasan supaya menghentikan siasatan tentang serangan pengebom berani mati tu.”
Berita yang diberitahu oleh Tuan Rahim amat mengejutkannya tetapi dia tidak mampu hendak bersuara. Ini bukan kali pertama dia diminta menghentikan siasatan. Dahulu, ada juga satu atau dua kes yang disiasatnya terpaksa dihentikan atas arahan daripada pihak atasan. Semuanya adalah kes-kes yang melibatkan anak-anak menteri dan orang ternama. Apabila mendapat arahan sebegitu, dia tidak mampu hendak berbuat apa-apa. Kadangkala dia terfikir, tiada gunanya dia memilih kerjaya polis kalau dia sendiri tidak mampu mempertahankan kebenaran.
“Semua siasatan tentang kejadian tu akan diambil alih oleh satu pasukan khas,” tambah Tuan Rahim. Mendengar kenyataan itu sedikit melegakkan Azril. Namun, dia masih lagi belum pasti apakah pasukan khas itu hanyalah satu sandiwara pihak atasan lagi sepertimana yang berlaku kepada kes-kes lain?
Dia berharap prasangkanya itu salah sama sekali. Ini bukan kes langgar lari atau kes rogol yang diterimanya selama ini. Ini soal kematian orang yang tidak mempunyai akal yang sanggup membunuh diri sehingga mengorbankan orang lain yang tidak bersalah!
“Kedua, saya juga terima arahan daripada pihak atasan,” kata Tuan Rahim sambil menghulurkan sekeping sampul surat kepada Azril. “Hari ni merupakan hari terakhir kamu bekerja di bawah saya. Mulai esok, kamu akan dipindahkan ke pasukan khas yang dimaksudkan.”
Kali ini Azril terkejut mendengarnya. Sukar dia hendak percaya dengan berita yang disampaikan tadi. Masuk ke pasukan khas dengan tugas yang mencabar memang sudah menjadi cita-citanya sejak kecil lagi. James Bond adalah hero pujaannya. Walaupun James Bond hanyalah watak ciptaan tetapi dia tetap memasang angan-angan ingin menjadi seperti James Bond.
“Apa awak tunggu lagi?” Soal Tuan Rahim sekali gus mengejutkannya dari lamunan.
“Terima kasih Tuan! Jasa Tuan saya akan ingat sampai bila-bila!” Ujar Azril sambil menabik hormat. Tanpa disuruh sekali lagi, dia segera melangkah keluar dari pejabat Tuan Rahim. Sejurus dia melangkah keluar, satu sorakan diterimanya oleh rakan seperjuangannya. Rata-rata mereka mengucapkan ucapan tahniah kepadanya.
“Terima kasih semua,” ucapnya.
“Tahniah Azril. Nampaknya doa kau nak jadi James Bond termakbul juga. Yang aku bangga sekali, bukan doa kau saja yang termakbul, doa aku pun. Nampaknya lepas ni rambut aku mesti lebat balik,” ujar Omar sambil menepuk-nepuk bahunya.
Azril sekadar menggeleng. Walaupun dia tahu Omar sedang memerlinya tetapi dia tidak mahu ambil pusing. Apa yang penting sekarang sebahagian hasratnya sudah tercapai dan dia tidak akan sesekali mensia-siakan peluang itu!
Azril kembali ke mejanya untuk mengemas. Kemudian dia mendapati ada satu bungkusan yang dibungkus berwarna coklat diletak di atas mejanya. Namanya tercatit pada bungkusan itu. Tanpa mempedulikan bungkusan itu, Azril mengemas mejanya. Barang-barangnya dimasukkan ke dalam sebuah kotak supaya senang untuk diangkut. Oleh kerana mejanya tidak banyak barang yang perlu dibersihkan, dia hanya mengambil masa kurang dari satu jam untuk mengemas barang-barangnya.
“Dah siap kemas? Jom kita makan-makan dulu. Nak raikan kejayaan kau,” sapa Omar di hadapannya.
“Tak apalah. Hari ni aku ada date.”
“Date? Dengan siapa? Awek? Kau ada awek?” Tanya Omar bertubi-tubi.
Azril tidak menjawab tetapi sebaliknya hanya tersenyum. Tanpa mengucapkan selamat tinggal, Azril berlalu dengan membawa barang-barangnya meninggalkan Omar yang terpinga-pinga.
Selepas meletakkan barang-barangnya di dalam bonet keretanya, Azril melangkah masuk ke dalam keretanya. Enjin dihidupkan. Tanpa berlengah lagi dia memandu keretanya ke jalan besar. Hampir satu kilometer dia memandu, keretanya itu berhenti di bahu jalan. Isyarat kecemasan dihidupkan sebagai langkah berjaga-jaga kepada pemandu lain.
Dia mencapai bungkusan yang diterimanya tadi. Dikoyaknya bungkusan itu. Sebuah buku nota yang hampir lunyai ditarik keluar. Satu senyuman terukir di bibirnya sebaik sahaja dia membuka helaian buku nota tersebut. Lantas dia mengeluarkan telefon bimbitnya dan mendail nombor seseorang. Hanya dengan tiga kali deringan, panggilannya dijawab oleh seorang lelaki.
“Kau dah dapat?” Tanya lelaki bersuara garau itu.
“Mmm,” jawab Azril. “Terima kasih sebab tolong aku….”
“Aku tak tolong kau. Aku risaukan Alin, selagi buku tu ada pada dia, selagi itulah nyawa dia dalam bahaya. Lepas ni semuanya bergantung pada kau,” ujar suara itu lagi.
Belum sempat Azril ingin mengutarakan soalan, talian dimatikan. Dia mengeluh berat. Serta-merta wajah Alin, gadis yang ditemuinya tadi terbayang di mindanya. Kalaulah dia boleh kembali ke masa silam, dia akan pastikan dia ayah Alin, Encik Husin tidak akan menjadi mangsa pengganas!

***

Alin melangkah masuk ke sebuah kedai menjual DVD di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur yang juga selalu menjadi lokasi pertemuan dia dengan Yahya. Sehingga hari ini dia sendiri tidak tahu kenapa Yahya suka menemuinya di kedai itu. Seperti anggota polis berjumpa dengan perisik pun ada. Walaupun Yahya memang tahu banyak sumber-sumber pihak berkuasa tentang sesuatu kes, tetapi Yahya bukanlah perisik seperti James Bond. Sebaliknya hanya merupakan jurugambar yang bekerja di bahagian forensik.
“Apa maklumat tu?” Tanya Alin menghampiri Yahya, lelaki yang memakai baju T berwarna biru dan menyorok kepala botaknya itu dengan cap dan kelihatan sibuk membelek drama bersiri Jepun.
“Kau pernah tengok cerita ni?” Tanya Yahya sambil menghulurkan sebuah DVD Jepun kepadanya.
“Tolonglah Yahya, aku tak ada masa nak main polis entry dengan kau,” keluh Alin malas hendak melayan Yahya.
“Filem ni bagus. Kau patut tengok,” ujar Yahya yang masih menghulurkan DVD tadi. Apabila menyedari wajah Yahya yang serius, Alin akhirnya menyambut DVD yang dihulurkan tadi.
Space Travelers: Sukeban merupakan tajuk filem itu. Kemudian, dia memandang Yahya yang masih tersenyum memandangnya.
“Okey, aku tengok. Terima kasih,” ujar Alin.
“Anytime my honey,” balas Yahya. Hampir meremang bulu roma Alin mendengarnya.
Tanpa buang masa Alin segera membeli DVD yang diberi oleh Yahya. Selesai membayar, dia segera pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan Alin asyik memikirkan apakah yang cuba diberitahu oleh Yahya sebenarnya dan apakah kaitannya DVD yang dibelinya dengan maklumat yang ingin disampaikan oleh Yahya kerana selama ini jika ada apa-apa maklumat tentang kes-kes yang di bawah siasatan polis, Yahya akan terus beritahunya.
Tetapi itu tidak bermaksud Yahya tidak beretika dalam kerjanya dengan membocorkan rahsia polis. Yahya hanya akan berbuat demikian jikalau ada kes-kes yang dianggap menyeleweng dan sengaja tidak ingin didedahkan kepada orang ramai dan orang ramai patut tahu tentang hal itu. Itulah prinsip Yahya selepas tengok filem 2012. Baginya, orang ramai patut tahu tentang kemusnahan dunia, sekurang-kurangnya kalau mereka tidak berpeluang menaiki kapal besar yang dilihat dalam filem itu, mereka dapat beramal kepada Tuhan dan saling bermaaf-maafan dengan kaum kerabat dan rakan-rakan mereka.
Pertama kali dia mendengar jawapan Yahya itu, dia tidak mampu berkata apa-apa. Yahya seorang yang teramat anti apabila orang menolak jawapannya. Lebih baik mengiakan sahaja daripada mempersoalkan jawapan Yahya.
Tepat jam 8:35 malam, Alin sampai ke rumahnya. Dengan hanya menaiki LRT, dia hanya mengambil masa kurang 50 minit untuk sampai ke rumahnya dari tempat pertemuan tadi. Lagipun rumahnya juga tidak jauh dari stesen LRT, jadi dia tidak memerlukan kereta untuk bergerak ke sana sini.
Tiba sahaja di rumah dia terus memasang DVD yang dibelinya tadi. Keadaan rumahnya yang masih bersepah tidak dipedulikannya. Ditutupkan mata sahaja melihat barang-barang yang bersepah di atas lantai rumahnya itu dan menumpukan perhatian pada jalan cerita itu.
Hampir setengah jam melihat plot cerita itu dia masih lagi tidak memahami apakah yang ingin diberitahu oleh Yahya. Tidak puas hati selepas tidak mendapat jawapan, Alin memutarkan cerita itu dari mula.
“Cerita bermula dengan seorang remaja dengan tangan terikat meletupkan diri di tengah-tengah bandar. Mmm mungkin Yahya nak bagi tahu si pengebom berani mati tu bukanlah orang yang rela lakukan semua ni,” ujarnya membuat andaian.
Filem itu berputar lagi kepada plot-plot selanjutnya. Namun, dia langsung tidak menemui andaian yang tepat. Sekali lagi dia memutarkan filem itu dari awal.
“Yahya ni memang nak kena. Kalau nak suruh aku jadi detektif pun tunggulah aku dapat IQ macam Detektif Conan atau dapat boyfriend macam Detektif Conan atau…,” kata-katanya terhenti. Dia terfikir sejenak.
Lantas dengan itu dia memutarkan kembali filem itu dari awal. Dia memerhatikan babak awal dengan teliti. Babak yang mana seorang remaja perempuan yang lengkap berpakaian seragam sekolah berlari di tengah-tengah orang ramai sebelum meletupkan diri.
“Mungkin apa yang Yahya nak beritahu, si pengebom berani mati tu bukan saja dipaksa meletupkan diri tapi pengebom berani mati itu juga adalah seorang pelajar sekolah atau lebih teruk lagi…,” Alin berlari masuk ke dalam bilik ayahnya dan menyelongkar gambar-gambar yang pernah ditangkap oleh ayahnya dan antara gambar-gambar itu kebanyakannya adalah gambar persekitaran di sebuah sekolah elit terkemuka di Malaysia.
“Mungkin sebab inilah mereka tak percayakan ayah dan anggap ayah gila. Pengganas yang sebenarnya adalah pelajar sekolah!”

1 comment: