Jam hampir menunjukkan pukul 2:00 pagi. Suasana di salah sebuah stesen LRT sangat sunyi dan lenggang daripada orang ramai. Hanya seorang dua pengawal yang kelihatan berlegar-legar di sekitar stesen LRT bawah tanah tersebut melakukan rondaan seperti hari-hari sebelumnya.
Tatkala penghuni bandaraya Kuala Lumpur sedang dibuai mimpi, mereka bangun bekerja bagi memastikan keselamatan stesen LRT itu terjamin daripada sebarang aktiviti yang mampu meragut keselamatan para penumpang pada siang hari. Itulah rutin harian mereka yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Sumbangan mereka dianggap kecil bagi sesetengah masyarakat tetapi sebenarnya kehadiran mereka umpama tentera yang menjaga keamanan negara.
“Man, aku nak asap kejap,” kata salah seorang rakannya sambil melakukan isyarat merokok.
“Wei, baru setengah jam tadi kau asap,” rakannya itu tidak puas hati.
“Ala, aku mengantuk ni. Selagi aku tak merokok, kejap lagi aku mesti bentang tilam kat sini,” balas pengawal yang memakai tag nama Shaiful.
“Habis kau ingat aku tak mengantuk ke?”
“Kalau kau mengantuk, aku bagi kau satu batang rokok free, lepas tu gerenti kau tak mengantuk.”
“Huh, aku bukan macam kau yang tak sayang nyawa.”
“Hah, tahupun. Dahlah, aku nak pergi asap jap,” Shaiful berlalu pergi keluar dari bilik kawalan.
Rahman melihat rakannya itu meninggalkan bilik kawalan. Dia menggeleng. Sudah banyak kali dia cuba memujuk rakannya itu berhenti merokok tetapi rakannya itu tetap berdegil. Baginya rokok adalah kawan yang paling setia.
Setia tahi kucing!
Satu keluhan dilepaskannya. Matanya mulai mengantuk. Sepanjang bekerja sebagai pengawal keselamatan, waktu tidurnya tidak menentu. Kadangkala kena bekerja awal pagi, kadangkala sebelah malam dan adakalanya satu hari berterusan. Hendak cari duit punya pasal. Menyesal pula dia abaikan zaman persekolahannya dahulu.
Lamunannya terganggu apabila dia mendengar sesuatu yang datang dari arah landasan. Dia keluar dari bilik kawalan dan berlalu di tepi landasan yang menjadi tempat penumpang turun dan naik LRT. Bunyi itu semakin kuat. Seperti bunyi tren tetapi mustahil ada tren waktu-waktu begini.
Lampu suluhnya di hala ke arah laluan tren bawah tanah itu. Tiada apa-apa yang mencurigakan. Seketika kemudian, bunyi itu berhenti. Dia menghela nafas lega.
“Isy, tak boleh tengok orang senang sikit. Asyik-asyik nak ganggu orang,” rungutnya sendirian.
Dua tahun dia bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sudah banyak kali dia terserempak dengan perkara-perkara yang aneh di stesen itu sehingga dia sudah terbiasa apabila diganggu. Tanpa berlengah lagi, dia mengorak langkah ke bilik kawalan yang ditinggalnya tadi. Namun, baru beberapa langkah dia berjalan, sekali lagi dia dikejutkan dengan satu bunyi yang sangat kuat.
Apabila dia berpaling, kelihatan kelibat sebuah tren besar berwarna putih berhenti di hadapannya. Kakinya kaget. Dia hairan. Satu demi satu soalan menyelubungi dirinya. Lantas dia melihat jam di tangannya. Baru jam 2:15 pagi. Tapi dari manakah datangnya tren ini? Siapa yang mengawalnya?
Pintu tren tersebut terbuka dari dalam. Asap putih yang menyerupai wap yang keluar dari peti ais keluar dari dalam tren itu. Kemudian terdapat seseorang melangkah keluar dari tren tersebut.
Lelaki. Berbadan tegap. Memiliki ketinggian sepertinya, cuma tinggi sedikit. Hanya memakai baju t-shirt putih dan berseluar jeans lusuh. Wajahnya tidak dapat dicam keseluruhan kerana memakai cermin mata hitam tetapi dia tahu, orangnya dalam lingkungan 20-an.
Sejurus lelaki misteri itu turun, tren tadi bergerak laju dan hilang di sebalik laluan tren bawah tanah itu. Rahman masih lagi kaget seolah-olah kakinya disimen dari bawah sampai atas.
Lelaki misteri yang turun dari tren misteri itu berjalan lalu di hadapannya dengan selamba. Seolah-olah tidak menyedari kehadiran Rahman di situ. Akan tetapi, lelaki itu yang membawa bagasi besar itu berpatah kembali dan berdiri di hadapannya.
“Berapa tarikh hari ni?” Tanya lelaki itu.
“Err... 27 Mac,” jawabnya teragak-agak.
“Tahun?”
“2010,” jawabnya lagi bagaikan dipukau.
“27 Mac 2010...,” keluhnya. “Stupid train! Apa kejadahnya hantar aku dua tahun lebih awal!”
Lelaki misteri itu terus melangkah manakala Rahman masih dalam kebingunggan.
tetibe aser seram. hihihi... permulaan yang baik :)
ReplyDelete